SweetMuslimah.com

Mereka Yang Sudi Membaca

Home » , , , » Berita : 24,053 guru naik pangkat mulai 1 jun

Berita : 24,053 guru naik pangkat mulai 1 jun


Seramai 24,053 guru yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, mulai 1 Jun hingga 31 Dis ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
24,053 Guru Naik Pangkat Mulai Bulan Depan: Muhyiddin

Beliau berkata kumpulan itu merangkumi seramai 8,222 guru lepasan Ijazah dan 15,831 lepasan Diploma.
“Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.
Beliau berkata selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan minimum kenaikan pangkat secara ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lepas.
Katanya melalui skim itu, bagi guru lepasan Ijazah gred DG41, hanya lapan tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, lapan tahun untuk gred DG44 ke DG48, enam tahun untuk gred DG48 ke DG52 dan hanya tiga tahun untuk gred DG52 ke DG54.
Muhyiddin berkata bagi guru lepasan Diploma gred DGA29, hanya lapan tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, lapan tahun untuk gred DGA32 ke DGA34 dan hanya lima tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.
Beliau berkata lanjutan pengumuman Perdana Menteri itu, seramai 390 guru telah dinaikkan ke gred DG54, DG52 (676), DG48 (3,938) dan DG44 (19,805).
Katanya bagi guru bukan siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, DGA34 (2,639) dan DGA32 (9,519).
Beliau berkata proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh kementerian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Baca...Terhangat Di Blog Chegu Zubir